About Us

Pra Kata

Bismillah Al-Rahman Al-Rahim

            Segala puji bagi Allah SWT,selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW.

Dengan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih di atas peluang yang diberikan kepada saya  untuk menitipkan sepatah dua kata di ruangan ini.

Sebagaimana yang dimaklumi, National Pre-University Seminar diadakan pada setiap tahun. Namun, pada tahun 2020, telah bermula pandemik Covid-19 sehingga memaksa pihak kami menangguhkan penganjurannya. Alhamdulillah, pada tahun ini kita dapat bersua lagi di medan perhimpunan akademia ini. Pada tahun ini, 5th NPreUS 2021 berazam untuk mengangkat tema "Cabaran Bahasa Dalam Dunia Digital Era Pandemik" dan untuk pertama kalinya seminar ini berlangsung sepenuhnya secara dalam talian. Penganjuran 5th NPreUS 2021 menyaksikan kolaborasi mantap antara Pusat Matrikulasi KUIS dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Selangor (UNISEL) . Kerjasama yang baik dan hubungan yang harmoni antara semua pihak yang terlibat adalah batu asas kepada kejayaan penganjuran seminar pada tahun ini.

Tidak keterlaluan untuk saya mengatakan bahawa seminar ini adalah ibarat magnet yang menarik sejumlah kepakaran dari kepelbagaian disiplin ilmu  yang dimiliki oleh ahli akademik dari seluruh Malaysia. Saya amat yakin bahawa seminar ini adalah medium yang terbaik untuk mereka membuat pembentangan dan perbahasan ke atas penemuan-penemuan ilmiah terbaharu mengikut sub-sub tema yang telah ditetapkan. Saya juga optimis bahawa segala ilmu dan maklumat yang diperolehi dari seminar ini akan memandu ahli akademik kepada penambahbaikan dalam segenap aspek  dan pengamalan budaya penyelidikan sepanjang hayat.

Akhir kata, sekalung tahniah dan jutaan terima kasih kepada semua pihak samada institusi pengajian tinggi, para pembentang dalam kalangan ahli akademik, penyelidik, pelajar pasca siswazah,guru-guru,seluruh tenaga kerja 5th NPreUS 2021 dan tidak dilupakan kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.  Diharap segala usaha murni ini mendapat penilaian yang terbaik dari-Nya. Semoga kita bersua lagi pada tahun hadapan, Insya-Allah.

En Nor Effendy Ahmad Sokri

Dekan Pusat Matrikulasi KUIS

KUIS Indah copy.jpg

Ucapan Aluan

Dengan nama Allah, yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Alhamdulillah, saya bersyukur terhadap Ilahi dengan izin-Nya saya dapat merakamkan kata alu-aluan di dalam laman web National Pre University Seminar (NPreUS) ini. Setinggi-tinggi ucapan tahniah dan syabas kepada semua pihak yang telah bekerja keras dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam pelaksanaan 5th NPreUS 2021 pada kali ini.

 

Ahlan wa sahlan, welcome, selamat datang ke 5th National Pre University Seminar 2021 (5th NPreUS 2021). Bagi pihak jawatankuasa NPreUS 2021 ke-5, saya ingin mengucapkan ribuan penghargaan kepada semua pembentang dan peserta persidangan ini. Saya berbesar hati diberikan peluang untuk mengemudi perjalanan seminar yang menjadi platform perkongsian ilmu di kalangan para cendekiawan umumnya dan warga pendidik khususnya. Di kala negara dan seluruh dunia mengalami krisis pandemic COVID-19, kita masih berusaha untuk menjalankan tugas seperti biasa, dan sejajar dengan itu, tema seminar juga dipilih bersesuaian situasi yang sedang kita alami iaitu “Cabaran Bahasa dalam Dunia Digital Era Pandemik”.

 

Situasi baru ini merupakan cabaran yang hebat untuk ditangani, oleh itu diharap pada seminar kali ini, para pembentang dan peserta dapat memanfaatkan ilmu yang diperolehi bagi penambahbaikan pendidikan pada masa akan datang. Segala penat lelah kita dalam mencari dan menyampaikan ilmu ini InsyaAllah dijanjikan ganjaran selayaknya oleh Allah S.W.T.

 

Kepada warga kerja 5th NPreUS 2021, saya amat berterima kasih atas segala sumbangan anda untuk memastikan perjalanan seminar ini berjalan lancar dan dengan jayanya. Kepada pembentang dan peserta, diharapkan kalian memperoleh ilmu baharu dan pengalaman yang baik, dan segala kekurangan kami harap dimaafkan.

 

Sesungguhnya yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T, dan yang kurang itu daripada kami sendiri. Semoga usaha ini diterima oleh Allah S.W.T sebagai sumbangan kepada ummah, InsyaAllah.

 

Terima kasih.

Pn Zulifah Rini Binti Mohd Zulkifli

Pengarah NPreUS 2021

Meet The Team

Collaboration